KANGAR – Jemaah Nazir Negeri (JNN) Perlis membuat laporan polis susulan penularan hantaran berunsur fitnah yang menggambarkan seolah-olah pegawainya terdiri daripada guru bermasalah, malas mengajar serta kerap ponteng, sedangkan dakwaan itu tidak berasas.
Ketua Nazir Negeri, Munsyi Mohd. Salleh Hassan berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya menerima makluman menerusi WhatsApp berhubung satu hantaran yang didakwa menjejaskan imej JNN Perlis.
Katanya, hantaran tersebut disebarkan menerusi aplikasi Threads dan Facebook.
“Siasatan dalaman mendapati individu menggunakan nama Zul Mainoe merupakan pemilik hantaran asal yang mempunyai ribuan pengikut dalam kedua-dua platform berkenaan.
“Kandungan sama turut dikesan dimuat naik dalam kumpulan Facebook Kami Guru Malaysia (KGM) oleh pemilik akaun Hasmi Ali serta beberapa pengguna lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, tiada mana-mana pegawai mereka pernah berkhidmat sebagai guru sekolah menengah di Perlis dan proses pelantikan nazir dilakukan melalui tapisan ketat serta profesional.
“Hantaran itu turut menjejaskan reputasi guru sekolah menengah di Perlis apabila digambarkan sebagai malas dan sering tidak hadir, sedangkan audit keberadaan guru menunjukkan prestasi mereka adalah baik.
“Hantaran berkenaan juga menggambarkan pengetua sekolah di negeri ini biadab terhadap pegawai kementerian, sedangkan rekod menunjukkan mereka berdisiplin dan menghormati semua pihak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














