PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan mengulas status masa depan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang didakwa bakal ‘angkat kaki’ pada penghujung tahun ini.
Kosmo! kelmarin melaporkan bekas pengendali FC Tokyo akan meninggalkan pasukan dengan aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok sebagai medan terakhir buatnya.
Namun, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan khabar angin mengenai masa depan jurulatih import dari Australia itu hanyalah spekulasi liar.
“Tiada komen. Anda (wartawan) cakap spekulasi liar? Saya pun anggap ia liar,” kata Mohd Yusoff yang ditemui selepas aksi final Piala Emas Raja-Raja 2025 di Stadium UKM, Bangi kelmarin.
Sebagai rekod, Cklamovski telah memimbing pasukan sejak Januari lepas mengambil dan berjaya bantu Malaysia meraih enam kemenangan dan satu seri dalam tujuh perlawanan.
Antara keputusan menarik yang diraih Harimau Malaya adalah menamatkan kemarau tanpa kemenangan selama 11 tahun menentang Vietnam selain menang ke atas Palestin dan seri ketika berdepan Cape Verde.
Namun, revolusi skuad kebangsaan sedikit terencat selepas menerima hukuman berat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan pada September lepas.
Sementara itu, Mohd. Yusoff turut mengesahkan FAM telah pun meminta alasan bertulis (motivated decision) daripada FIFA selepas rayuan berhubung isu dokumentasi pemain warisan negara ditolak pada 3 November lepas ini.
“Buat masa ini kami sekadar boleh menunggu sahaja (alasan bertulis FIFA). Selepas itu, kita ada tempoh 21 hari (bawa kes) ke CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan),” jelas Mohd. Yusoff.















