LAS VEGAS – Perebutan gelaran dunia Formula Satu (F1) 2025 terus ‘panas’ apabila bekas ketua pasukan Haas, Guenther Steiner menegaskan Oscar Piastri wajar menilai semula masa depannya bersama McLaren jika gagal merangkul gelaran musim ini.
Piastri yang sebelum ini mendahului kejuaraan sepanjang 15 pusingan, hilang rentak secara drastik sehingga menyaksikan harapannya untuk muncul juara dunia sulung kini semakin pudar.
Kejayaannya menang di Grand Prix (GP) Belanda Ogos lalu memberikan kelebihan 34 mata ke atas rakan sepasukan, Lando Norris, namun selepas enam perlumbaan, jurang itu bertukar menjadi defisit 24 mata.
Ketika tiga pusingan berbaki, Piastri semakin kesuntukan masa untuk mengubah nasib, sedangkan Norris sedang berada di prestasi terbaik dengan kemenangan berturut-turut di Mexico City dan Brazil.
Steiner menegaskan Piastri mempunyai pilihan lain sekiranya gelaran tidak menjadi miliknya musim ini dan percaya banyak lagi pasukan yang mampu menyediakannya jentera terbaik untuk memcabar kejuaraan.
“Dia pemandu berkualiti dan kadang-kadang perubahan itu baik. Usianya masih muda, dia boleh menyesuaikan diri dengan cepat. Pada pandangan saya, dia patut mempertimbangkan langkah itu,” ujarnya lagi.
Apabila ditanya tentang tindakan Piastri sekiranya gagal, Steiner menjelaskan pelumba itu hanya perlu mengumpul kekuatan pada musim sejuk, jika tidak mampu berbuat demikian, mungkin langkah terbaik ialah mencari pasukan baharu.
Dalam masa sama, Steiner turut meramal Max Verstappen mampu menamatkan musim di depan Piastri berdasarkan prestasi semasa. – AGENSI















