SEBERANG PERAI – Tiga lelaki warga Myanmar termasuk dua beradik direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh tukang masak wanita di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru di sini, malam tadi.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah ke atas ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini pagi tadi.
Tempoh reman sehingga 23 November bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah dengan dikawal ketat anggota pada pukul 8.45 pagi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang tukang masak wanita warga Myanmar mati ditikam pelanggannya gara-gara masakan tidak menepati selera malam tadi. Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an maut di tempat kejadian, manakala suaminya cedera pada badan.
Restoran itu menyediakan masakan ala Thai. Suspek yang merupakan warganegara sama dipercayai datang ke premis itu bersama rakannya dalam keadaan mabuk.
Difahamkan, kejadian tercetus selepas suspek bertengkar dengan pasangan suami isteri tersebut sebelum mereka dihalau dari premis berkenaan.
Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka dikatakan memanggil abangnya sebelum kembali semula ke restoran tersebut lalu menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya dan suaminya turut mendapat rawatan di hospital sama. – KOSMO! ONLINE















