KUALA LUMPUR – Seramai 13,679 jurutera dan tenaga mahir teknikal berjaya dilatih, diperakui kemahiran serta diserap ke dalam pelbagai segmen industri semikonduktor sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada Mei 2024 sehingga kini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata, pencapaian itu menandakan Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 60,000 bakat berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
“Ia merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, fabrikasi wafer serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ir. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung jumlah jurutera berkemahiran tinggi yang telah dilatih dan diserap ke industri semikonduktor sejak pelancaran NSS.
Chin Tong berkata, antara universiti terlibat dalam usaha itu adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Menurut beliau, pusat kemahiran seperti Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) Berhad dan Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem) juga terlibat dalam usaha berkenaan.
Tambah beliau, Kerjasama Penyelidikan dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan HRD Corp pada 24 Julai lalu bagi membentuk perkongsian strategik dalam pembangunan bakat di bawah kerangka NSS.
Selain itu, katanya, beberapa syarikat multinasional utama dalam bidang reka bentuk cip, fabrikasi dan ujian telah aktif menjalin kolaborasi strategik dengan universiti awam.
Jelas beliau, kerjasama tersebut melibatkan pembangunan kurikulum berasaskan industri, penyediaan makmal berteknologi tinggi, program sandaran latihan industri serta usaha bersama dalam penyelidikan gunaan yang berfokus kepada teknologi semikonduktor generasi baharu.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelestarian tenaga kerja mahir, malah meningkatkan keupayaan Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam pembangunan modal insan semikonduktor bertaraf global,” katanya. – KOSMO! ONLINE















