KUALA LUMPUR – Dakwah kini melangkaui masjid dan madrasah apabila gelombang radio dan ruang digital turut di‘wakafkan’ sebagai medium penyampaian Islam masa kini dan masa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, usaha itu memastikan kefahaman Islam terus mekar hingga ke seluruh dunia.
“Sejarah gemilang peradaban Islam membuktikan bagaimana wakaf menjadi nadi pembangunan sosioekonomi umah, serta menyediakan akses kepada kemudahan asas manusiawi.
“Sejarah mencatat bahawa wakaf bukan sekadar amalan kebajikan, malah nadi yang menghidupkan tamadun Islam,” katanya menerusi teks ucapan dalam Majlis Peluncuran Tabung Dana Wakaf IKIM dan Forum ‘Tranformasi Wakaf: Syariah, Strategi & Solusi Era Digital’, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman yang mewakili menteri untuk merasmikan majlis.
Tambah beliau, melalui agensi-agensi wakaf negara dengan kerjasama majlis agama Islam negeri, kerajaan komited memperkukuh instrumen wakaf.
“Ia meliputi wakaf tunai, memperluas inovasi wakaf korporat, dan menjadikan wakaf sebagai asas kemakmuran rakyat serta pembangunan negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE















