LANGKAWI – Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) insiden bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya karam di sempadan perairan Malaysia-Thailand ditamatkan pada pukul 6.30 petang tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi ditamatkan selepas sembilan hari pencarian meliputi kawasan seluas 1,745.88 batu nautika persegi.
“Operasi akan ditamatkan pada pukul 6.30 petang ini selepas penilaian akhir mendapati tiada petunjuk baharu selain faktor cuaca dan risiko selaras prosedur operasi standard (SOP) carilamat,” katanya pada sidang akbar di Pejabat Operasi Maritim Langkawi di Bukit Malut di sini hari ini. Kata beliau, operasi diaktifkan pada 9 November lalu selepas Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Langkawi menerima laporan penemuan mangsa pertama di perairan Langkawi sehari sebelum itu.
“Seramai 43 mangsa berjaya ditemukan dengan 14 orang dalam keadaan selamat dan selebihnya meninggal dunia. Mangsa yang selamat terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.
“Sementara itu, sebanyak 29 mangsa yang ditemui sudah meninggal dunia terdiri daripada 15 lelaki, sembilan wanita serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” ujarnya.
Katanya, mangsa ditemukan di beberapa lokasi sekitar Pulau Singa Besar, Pulau Rebak Besar, Teluk Apau, barat Tanjung Belua dan Pulau Anak Datai.
“Semua mangsa yang ditemui telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan pengecaman dan tindakan lanjut,” jelasnya.
Beliau memberitahu, di Thailand, pihak berkuasa di sana melaporkan penemuan 10 mayat migran sepanjang sembilan hari operasi carilamat diadakan.
Katanya, mengikut pengiraan dan arah angin, bot migran tersebut dipercayai karam di perairan Pulau Tarutao, Thailand yang terletak tidak jauh dari Langkawi. – KOSMO! ONLINE














