DHAKA – Sebuah mahkamah Bangladesh hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina atas jenayah kemanusiaan, dengan sorakan kedengaran di mahkamah yang penuh sesak ketika hakim membacakan keputusan tersebut.
Hasina, 78, mengingkari perintah mahkamah untuk kembali dari India bagi menghadiri perbicaraan sama ada beliau mengarahkan tindakan keras yang membawa maut terhadap pemberontakan pimpinan pelajar bagi menggulingkannya.
Keputusan yang sangat dinanti-nantikan itu, disiarkan secara langsung di kaca televisyen menjelang pilihan raya pertama sejak beliau digulingkan pada Ogos 2024.
“Semua… elemen yang membentuk jenayah terhadap kemanusiaan telah dipenuhi,” kata Hakim Golam Mortuza Mozumder di mahkamah yang penuh sesak di Dhaka.
Hasina didapati bersalah atas tiga pertuduhan termasuk menghasut, mengeluarkan perintah untuk membunuh dan tidak bertindak untuk mencegah kekejaman, kata Mortuza.
“Mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hanya satu hukuman ke atasnya iaitu hukuman mati,” tambah hakim sama.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal yang juga hidup dalam buangan, turut dijatuhi hukuman mati, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan jenayah kemanusiaan.
Bekas ketua polis Chowdhury Abdullah Al-Mamun yang berada di mahkamah dan mengaku bersalah pula dihukum penjara lima tahun.
Bangladesh berada dalam kekacauan politik sejak berakhirnya pemerintahan autokratik Sheikh Hasina dengan keganasan mencemari kempen pilihan raya yang dijangka pada Februari 2026.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, kira-kira 1,400 orang terbunuh dalam tindakan keras ketika Sheikh Hasina cuba mengekalkan kuasa. – AFP















