SHAH ALAM – Pejabat Datuk Menteri Besar (MB) Selangor menegaskan dakwaan yang tular WhatsApp berhubung ‘kekayaan luar biasa’ seorang pegawainya adalah berniat jahat dan bermotifkan politik.
Dakwaan liar itu dibuat melalui satu kumpulan WhatsApp baharu ketika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sedang membentangkan Belanjawan 2026.
Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya memaklumkan dakwaan itu jelas berunsurkan fitnah, menyeleweng dan tidak berfakta ataupun sebarang asas.
“Laporan kepada pihak berkuasa berkenaan fitnah ini akan dibuat oleh pegawai terbabit.
“Ia sebagai elemen kebertanggungjawaban untuk kita sama-sama memperbetulkan fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan dengan politik tidak matang melalui pembinaan persepsi jahat, liar dan palsu,” katanya hari ini.
Terdahulu, beberapa media melaporkan Amirudin telah diminta menjawab persoalan mengenai kekayaan tidak dapat dijelaskan didakwa membabitkan seorang pegawainya, yang dipercayai turut memegang terlalu terlalu banyak jawatan di bawah kerajaan negeri.
Permintaan itu dibuat dalam satu kumpulan WhatsApp ‘MB Selangor’ yang diwujudkan khas untuk tujuan tersebut dan dikendalikan oleh seorang pentadbir yang hanya dikenali sebagai ‘Madani’
Dalam kumpulan itu, ‘Madani’ menyampaikan mesejnya secara langsung kepada Amirudin, menggesa menteri besar supaya menjawab dengan jujur dan adil.
‘Madani’ juga mendakwa pegawai tersebut telah ‘menjadi jutawan’ sejak Amirudin memegang jawatan, memiliki sebuah rumah banglo bernilai RM3 juta dan membawa keluarganya bercuti mewah ke luar negara. – KOSMO! ONLINE















