ATHENS – Pengendali Scotland, Steve Clarke menarik nafas lega apabila peluang untuk pasukan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 masih menyala walaupun tewas 2-3 pada aksi bertemu Greece dalam saingan Kumpulan C, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Scotland terdesak meraih sekurang-kurangnya keputusan seri untuk menghidupkan peluang layak secara automatik, tetapi bernasib baik apabila pendahulu kumpulan, Denmark gagal menang selepas terikat seri 2-2 menentang Belarus.
Kini, kedua-dua pasukan berpeluang untuk menentukan nasib pada aksi terakhir kelayakan apabila menentang sesama sendiri di Stadium Hampden Park, awal pagi Rabu nanti selepas hanya dibezakan dengan satu mata.
Clarke berkata, apa yang diharungi pemain di atas padang sangat sukar terutama ketika ketinggalan 0-3 sebelum mereka cuba merapatkan kedudukan dengan meraih dua gol pada babak kedua.
“Saya agak kecewa apabila kita ketinggalan dengan jaringan besar, tetapi selepas mengetahui keputusan aksi Denmark dan Belarus, saya percaya kita boleh meraih sesuatu, tetapi hanya mampu meraih dua gol.
“Secara jujur, saya akui mula terfikir pasukan akan beraksi di peringkat playoff, tetapi percaya kita masih berpeluang untuk meraih slot automatik dengan kelebihan beraksi di laman sendiri,” katanya. – AGENSI















