PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang memberikan salam sebelum mencuri sepasang kasut di sebuah rumah baru-baru ini mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Facebook oleh Mizah Salleh, kelihatan seorang lelaki berjubah dan berkopiah memberikan salam beberapa kali sebelum mengambil sepasang kasut dan meletakkannya di atas tembok rumah.
Kira-kira 30 minit kemudian, lelaki itu kembali dengan sebuah beg biru, mengambil semula kasut yang ditinggalkannya dan memasukkannya ke dalam beg sebelum beredar.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata turut risau dengan situasi berkenaan.
“Bahaya zaman sekarang ni. Kadang-kadang ada juga orang minta derma datang di rumah. Pesan dekat keluarga kunci pagar, jangan percaya walaupun berkopiah,” komen Rizal Jan.
“Assalamualaikum-assalamualaikum, tahu-tahu tangan mengutip juga kasut tu,” kata Norlela Ahmad.
“Takut kadang-kadang orang pelik-pelik datang laman rumah tujuan untuk menyamar minta sedekah tapi sebenarnya tengah tengok barang berharga lepastu esok datang rembat,” komen Syuhaiyu Darwish. – KOSMO! ONLINE















