fbpx
Sesi kelima Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 menyaksikan FPM meraikan seramai 973 graduan DPLI pada tahun ini. - Foto UPSI

UPSI perkukuh DPLI selaras keperluan pendidikan semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan terus memperkukuh relevansi Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan yang selari dengan keperluan pendidikan semasa.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Profesor Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim berkata, relevansi program DPLI dipastikan melalui semakan kurikulum setiap lima tahun melibatkan industri, institusi pendidikan dan pakar akademik bagi mengekalkan mutu.

“Ia juga bagi memastikan kandungannya terus relevan dengan perubahan sistem pendidikan negara.

“Proses penyemakan terbabit turut memastikan program itu mematuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan piawaian Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO), sekali gus menjamin keberkesanan latihan guru yang ditawarkan UPSI,” katanya di sini hari ini.

Untuk rekod, sesi kelima Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 menyaksikan fakulti itu meraikan seramai 973 graduan DPLI pada tahun ini.

Abdul Talib berkata, kurikulum yang disusun semula turut menekankan kemahiran abad ke-21 berasaskan 4C iaitu komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritis bagi melahirkan guru progresif dan mampu berfikir secara reflektif.

“Kadar kebolehpasaran graduan UPSI kekal melebihi 95 peratus dan graduan DPLI menjadi penyumbang terbesar kepada pencapaian 97 peratus pada tahun 2025.

“Penilaian latihan mengajar secara komprehensif oleh penyelia sekolah dan pensyarah UPSI memastikan pelajar menguasai kemahiran pedagogi, pengurusan bilik darjah dan profesionalisme keguruan sebelum ditempatkan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, UPSI turut memberi tumpuan kepada latihan profesional berterusan dengan memperkenalkan teknologi pendidikan semasa, aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta pedagogi digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

Menyentuh inovasi pembelajaran, beliau berkata UPSI melaksanakan usaha pendigitalan menyeluruh bagi program DPLI berdasarkan piawaian ‘Standard-based Teachers Education’ dan ‘Malaysian Teacher Standard’.

“UPSI juga menggalakkan penggunaan pedagogi berasaskan data, amalan informed teaching dan kaedah flipped classroom, disokong oleh infrastruktur digital seperti Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) dan perpustakaan digital berjumlah lebih dua juta bahan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI