SUNGAI PETANI – “Saya tidak sangka ada ular sebesar itu di atas siling tandas, besar sungguh sampai saya jerit anakonda.”
Itu cerita seorang guru, Nor Hayati Md. Rajab, 50, selepas melihat seekor ular sawa batik jatuh dari atas siling tandas dalam operasi menangkap reptilia itu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di rumahnya di Taman Bandar Baru PKNK, di sini kira-kira pukul 4 petang, Rabu lalu.
Menurutnya, sebelum kejadian, anak perempuannya berusia 15 tahun yang baru pulang dari sekolah memaklumkan siling tandas pecah sehingga menyebabkan dia takut untuk menggunakannya. “Waktu itu saya ada mesyuarat dan anak menghantar gambar siling yang terjatuh. Sebaik tiba di rumah, saya terus memeriksa siling di tandas tersebut.
“Saya lihat pada bahagian siling pecah itu kelihatan seperti kain batik. Saya hairan bagaimana kain batik boleh ada di atas siling sebelum anak menggunakan kamera telefon dan zoom pada kawasan tersebut hingga terlihat badan ular,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan anggota APM tiba untuk menangkap reptilia tersebut.
“Ketika ular sawa batik itu ditarik dan jatuh dari atas siling, saya memang terkejut kerana saiznya sangat besar. Ingatkan ular biasa, tidak pernah saya lihat ular sebesar itu depan mata.
“Saya bersyukur kerana menyedari kehadiran ular itu lebih awal, tak dapat bayangkan jika reptilia sebesar itu sudah berada dalam rumah,” ujarnya.
Dia percaya ular berkenaan memasuki bahagian siling melalui pokok durian belanda yang terletak di bahagian belakang rumah.
“Dua hari sebelum kejadian, dua pasu bunga saya terbalik. Mungkin terjadi ketika ular itu mahu menjalar pokok itu,” katanya.
Katanya, dia dan dua anaknya masih terbayang insiden tersebut dan akan memeriksa kawasan sekeliling dahulu sebelum masuk ke tandas.
“Ini pertama kali ular masuk ke rumah saya. Di belakang rumah ada kawasan paya, mungkin ia datang dari situ. Saya terpaksa mencuci lantai dan karpet kerana ada kesan bau hanyir,” jelasnya.
Sementara itu, APM menerima laporan kejadian pada pukul 4.01 petang, Rabu lalu dan berjaya menangkap ular sawa batik sepanjang lima meter dengan anggaran berat 60 kilogram tersebut. – KOSMO! ONLINE















