PETALING JAYA – Tindakan seorang bapa di Palestin menghalang air memasuki khemah susulan penempatan mereka dinaiki air kerana banjir meruntun hati orang ramai.
Menurut hantaran di media sosial, lelaki berkenaan menolak air menggunakan penyapu daripada terkena tempat tidur anaknya.
Situasi itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, termasuk kanak-kanak dan warga emas yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan.
Dalam hantaran lain menunjukkan hujan lebat tanpa henti telah menyebabkan beberapa kawasan penempatan rakyat ditenggelami air.
Mereka berdepan cuaca buruk berterusan sejak kelmarin dengan serba kekurangan ketika musim sejuk.
“Saudara kita di Palestin sedang dilanda banjir di penempatan mereka. Hujan turun tiada henti dari kelmarin. Diburukkan lagi mereka sedang menghadapi musim sejuk,” ujarnya.
Difahamkan, ramai rakyat Palestin hanya mampu berlindung di penempatan yang sudah ditenggelami banjir dalam keadaan serba kekurangan.
Video berdurasi 1 minit 46 saat itu turut memaparkan rakyat Palestin membuat tambak menggunakan batu bata dikeliling khemah penempatan.
“Perit sungguh tengok ujian rakyat Palestin ni. Benarlah syurga itu buat mereka yang sabar dalam ujian seperti mana rakyat Palestin,” kata Nurul Ummu.
“Semoga mereka ada bekalan pakaian dan makanan yang mencukupi. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan rakyat Palestin di sana,” komen @PuanBesar – KOSMO! ONLINE















