PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Nazri Ibrahim.
Menurut beliau, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan kelmarin.
“Semoga keluarga beliau tabah menghadapi dugaan yang besar ini. Pemergian Alahyarham adalah kehilangan besar kepada seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia dan seluruh warga keselamatan tanah air,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.
Saifuddin Nasution berkata, beliau mendoakan semoga roh Allahyarham ACP Mohd. Nazri diberi keampunan, rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Saya turut mendoakan agar Allah S.W.T juga menganugerahkan pahala untuk segala jasa sumbangan beliau kepada negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE















