KUALA TERENGGANU – Polis negeri ini berjaya memulangkan sebanyak RM629,124 atau 45 peratus daripada nilai wang yang dicuri sindiket penipuan atau ‘scammer’ kepada mangsa sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pemulangan semula wang penipuan kepada mangsa merupakan yang tertinggi di seluruh negara iaitu 298 peratus berbanding nilai rampasan.
“Peluang untuk mendapatkan semula wang yang ditipu lebih tinggi sekiranya mangsa segera menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NRSC) di talian 997 sebaik menyedari transaksi mencurigakan melibatkan akaun bank peribadi.
“NRSC akan mengaktifkan tindakan penyitaan akaun bank penerima mengikut Seksyen 435 Kanun Acara Jenayah dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan diterima,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, sitaan wang hasil aktiviti ‘scammer’ itu akan dipulangkan kepada mangsa selepas mendapat perintah mahkamah. Siasatan mendapati kebanyakan kes penipuan di negeri ini didalangi sindiket luar termasuk Lembah Klang yang memanipulasi penduduk tempatan sebagai keldai akaun.
Dalam perkembangan sama, katanya, kes jenayah komersial di Terengganu meningkat 64 peratus kepada 1,755 kes dalam 10 bulan tahun ini melibatkan kerugian sebanyak RM24.1 juta berbanding RM19.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu antara Superintendan Shahriman Shaari dengan Deputi Superintendan Mohd. Hanif Yusoff yang memangku jawatan itu sebelum ini. – KOSMO! ONLINE















