fbpx
KEADAAN kereta Toyota GR86 yang remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah bas pink di Jalan Pantai Belimbing, Krubong, Melaka, pagi tadi.

Pemuda maut, Toyota GR86 bertembung bas ‘pink’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pemuda maut selepas kereta sport jenis Toyota GR86 yang dipandu bertembung dengan sebuah bas henti-henti, Bas.my atau bas ‘pink’ di Jalan Krubong menuju Sungai Badau, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 7.35 pagi itu, Chong Chee Tong, 26, yang merupakan pemandu kereta meninggal dunia di lokasi akibat parah pada bahagian dalaman badan dan kepala.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid, seramai enam anggota dan sebuah jentera digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 7.40 pagi.

“Sebaik tiba tujuh minit kemudian, pihak kami mendapati pemandu Toyota GR86 sudah meninggal dunia, manakala pemandu bas berusia 34 tahun tersepit di tempat duduk dan cedera pada kaki serta tangan kiri.

“Kedua-dua mangsa dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis dan petugas Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kereta yang datang dari arah lampu isyarat One Krubong menuju Krubong Perdana itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Kenderaan itu kemudian melanggar bahagian hadapan bas yang datang dari arah Krubong Perdana. Impak pelanggaran itu menyebabkan kereta tersebut remuk dan pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bagaimanapun ketika kejadian tiada penumpang di dalam bas tersebut,” ujarnya.

Mayat pemuda itu dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk dibedah siasat. Rakaman kamera papan pemuka bas pink telah diperoleh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN