fbpx
Mohd. Rozi (kiri) menyoal pelesit rempit yang ditahan dalam operasi di Permatang Pauh, hari ini.

Pelesit rempit tak sayang nyawa walau berkali-kali dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Polis masih menjalankan siasatan kemungkinan aktiviti lumba haram membabitkan kumpulan pelesit rempit di kawasan Permatang Pauh di sini diselindungi oleh sindiket penganjuran atau bookie.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan, Kawalan Lalu Lintas dan Pengurusan Saman, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, risikan sedang giat dijalankan berhubung kewujudan penganjuran terbabit meskipun pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai dalang utama disebalik kegiatan itu.

“Sekiranya terkesan ada sindiket atau individu di belakang aktiviti ini yang terlibat, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Ops Motosikal di kawasan Seberang Perai di sini, hari ini.

Operasi tersebut dijalankan oleh JSPT Bukit Aman dan JSPT Pulau Pinang berhampiran persimpangan lampu isyarat Permatang Pauh menghala ke Ampang Jajar, bermula pukul 11 malam tadi.

“Seperti mana yang kita lihat operasi ini bukan kali pertama dijalankan di lokasi berkenaan dan tempat itu pun bukannya asing lagi.

“Mereka (pelesit rempit) pun sudah tahu, sudah biasa dan ada dalam kalangan mereka sudah dua atau tiga kali ditangkap sebelum ini dan masih lagi berada di lokasi sama.

“Melakukan aktiviti yang sama Inilah yang saya maksudkan tadi seperti seolah-olah mencabar penguatkuasa undang-undang dan juga tidak sayang nyawa mereka. Cuma satu pesanan hentikan kegiatan lumba haram ini sebelum ia hanya menghentikan nyawa,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya lagi, menerusi operasi tersebut, seramai 350 kenderaan termasuk penunggang motosikal ditahan dan dibawa ke Balai Polis Seberang Jaya.

“Sehingga kini hampir 250 saman telahpun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Kita lihat tadi ada seorang penunggang motosikal dapat lima, tujuh saman pun ada dan amat menyedihkan jugalah ada remaja-remaja yang berumur 15 tahun terlibat dalam aktiviti ini.

“Malah, ada yang tidak mempunyai lesin spesifikasi kenderaan yang tidak mencerminkan ciri-ciri keselamatan.

“Inilah yang amat membimbangkan kita dan usaha yang berterusan ini sebenarnya bukan hari ini sahaja tetapi sebelum ini pun kita telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap kegiatan tersebut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI