PETALING JAYA – Seorang pempengaruh media sosial, Nanad Bebe berdepan detik cemas selepas motosikal miliknya bersama barangan kemas yang didakwa bernilai kira-kira RM300,000 didakwa dicuri dalam kejadian di kawasan Sungai Long di Kajang awal pagi tadi.
Nanad Bebe yang juga pengasas sebuah butik terkenal, turut berkongsi di akaun media sosial miliknya dengan memaklumkan dengan pantas dan mahu orang ramai membantu jika terlihat beberapa barangnya yang dicuri.
“Kalau jumpa, tolong pegang. Motor ni pun dia curi,” tulisnya.
Dalam kejadian itu, dua buah motosikal jenis Yamaha RXZ dengan plat pendaftaran NAN 2201 dan Yamaha 135LC (CET 9740) dilaporkan hilang.
Perkara itu mula tular selepas seorang pengguna, cikbulanmanis, memuat naik hantaran di media sosial mendakwa motosikal tersebut hilang dan kini menjadi perhatian netizen yang meminta agar kejadian itu disebar luaskan bagi membantu usaha pencarian.
Menerusi hantaran tersebut, Nanad Bebe turut meminta orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat sekiranya terlihat motosikal berkenaan di mana-mana lokasi.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE














