fbpx
Vigneswaran ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-79 di Shah Alam hari ini. Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

MIC tidak akan minta maaf teroka kerjasama politik baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – MIC tidak akan memohon maaf berhubung usaha meneroka kerjasama politik baharu yang disifatkan sebagai hak dan keperluan strategik demi masa depan masyarakat India.

Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, adalah tidak wajar wujud kekecohan setiap kali MIC mempertimbangkan penjajaran politik baharu sedangkan parti lain bebas berbuat demikian.

“Dalam percaturan politik ini, kita mesti bertanya satu soalan secara jujur, mengapa timbul kekecohan
apabila MIC menerokai kerjasama politik baharu atau penjajaran yang strategik?

“Apabila Pakatan Rakyat ingin bekerjasama dengan Pas, ia dipuji sebagai ‘reformasi’. Apabila UMNO
bekerjasama dengan Pas, ia disebut sebagai ‘penyatuan ummah’.

“Tetapi apabila MIC hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan Pas, tiba-tiba ia menjadi isu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan ke-79 di sini hari ini.

Menurut beliau, kewujudan standard berganda terhadap pergerakan politik MIC tidak boleh diterima kerana parti itu berhak menentukan hala tuju sendiri.

“MIC bukan rakan junior yang boleh diarahkan. MIC adalah parti pengasas Barisan Nasional.

“Kita juga mempunyai hak, malah bertanggungjawab untuk meneroka apa jua pakatan, mengadakan dialog atau bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk melindungi kepentingan masyarakat kita,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, adalah tidak adil MIC ditegur hanya kerana mempertimbangkan masa depannya berbanding parti lain dalam gabungan bebas bertindak demi kelangsungan masing-masing.

“MIC tidak akan meminta maaf kerana membuat pilihan untuk memperkasakan masyarakat kita. Kami tidak gentar dengan naratif yang cuba mengehadkan gerakan politik kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN