fbpx
Vigneswaran ketika tiba pada Perhimpunan Agung MIC ke-79 di Shah Alam hari ini. Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

MIC kembali masuk Perikatan? – Vigneswaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran memberi bayangan parti itu bersedia membuka lembaran baharu termasuk kemungkinan kembali kepada Perikatan demi kepentingan masa depannya.

Berucap di hadapan 1,808 perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan ke-79 di sini hari ini, beliau berkata parti kini berada pada persimpangan penting dan perlu berani membuat keputusan besar bagi memastikan kelangsungan politik.

“Kita memulakan perjalanan kita dengan menjadi sebahagian daripada Perikatan.

“Hari ini, ketika kita melihat sekeliling, melihat ke dalam diri kita, persoalan yang mesti ditanya: Adakah kita sedang dipanggil
meninggalkan Barisan Nasional… untuk kembali memasuki Perikatan?

“Bukan Perikatan pada nama, tetapi Perikatan berdasarkan tujuan, kepercayaan dan kerjasama tulen yang membina negara ini,” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya itu ketentuan takdir, maka MIC tidak melarikan diri daripada sejarah, sebaliknya kembali kepada asas perjuangan parti.

Dalam pada itu, Vigneswaran yakin para perwakilan mampu menentukan hala tuju baharu terbaik untuk MIC.

“Kami percaya anda sebagai penjaga mandat ini untuk menentukan alternatif paling berdaya maju bagi MIC.

“Keputusan anda hari ini akan menentukan kekuatan dan kerelevanan parti untuk tahun-tahun akan datang,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau turut meminta mandat diberikan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat dan kepimpinan tertinggi Parti sekiranya perwakilan tidak dapat mencapai kata putus.

“Ini supaya kami boleh bertindak dengan amanah yang dipertanggungjawabkan demi memastikan apa yang terbaik untuk masa depan parti kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI