fbpx
Berinspirasikan Pantai California, keindahan Pantai Melawi, Bachok semakin disedari ramai dengan kewujudan ‘port’ santai Melawifornia.

Melawifornia hidupkan ‘beach vibes’ Pantai Melawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka, di tengah-tengah deretan pokok kelapa di tepi pantai, wujud sebuah lokasi yang mampu mengubah wajah pelancongan di Kelantan. Itulah Melawifornia, ‘port’ santai moden di Pantai Melawi, Bachok yang kini menjadi bualan ramai dalam dan luar negeri.

Jika dahulu Pantai Melawi hanya menjadi lokasi bersiar-siar keluarga setempat, kini suasananya berubah 360 darjah dengan kemunculan Melawifornia yang membawa konsep santai berinspirasikan pantai California, Amerika Syarikat, namun tetap mengekalkan jiwa Timur yang masih kental.

Terletak hanya 10 minit dari pekan Bachok, Pantai Melawi kini menjadi destinasi wajib kunjung bagi pencinta laut terutama mereka yang gemar bersantai, berkemah dan memburu keindahan panorama matahari terbit serta terbenam.

Pantai ini memiliki pesona tersendiri dengan pasir putih lembut dan angin laut yang mendamaikan. Ditambah dengan fasiliti awam yang lengkap seperti surau, tandas, tempat parkir serta gerai makanan tempatan, ia benar-benar menjanjikan keselesaan buat pelancong.

Namun yang paling mencuri perhatian kini tentulah Melawifornia, kafe pertama di Kelantan yang dibangunkan dalam ladang kelapa di tepi pantai.

Ia mula beroperasi pada 16 Julai 2023 hasil idea kreatif seorang anak muda tempatan, Ahmad Syaheed Aris Pazilah, 25, yang berani mencabar norma.

“Saya mahu bawa pengalaman santai gaya dunia, tapi tetap dengan suasana tropika Kelantan. Melawifornia bukan sekadar kafe malah satu gaya hidup.

“Dengan keluasan 0.4 hektar, Melawifornia dibina dengan konsep terbuka dan berwarna-warni. Payung besar, meja rotan, lampu bulat dan suasana muzik akustik menjadikan kawasan itu seolah-olah lebih segar dan tenang,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.

Menurutnya, konsep tahun ini juga tampil lebih menarik dengan Open Vendor 2025, yang membuka peluang kepada usahawan tempatan atau penduduk kampung menjual makanan dan produk mereka di sekitar kawasan pantai itu.

Katanya, mereka yang gemar aktiviti lasak atau laut, Melawifornia turut menawarkan pengalaman berkuda, stand-up paddleboard serta aktiviti surfing, khususnya ketika musim monsun apabila ombak lebih kuat dan sesuai untuk peluncur air.

“Selain itu, pantai ini juga terkenal dengan panorama matahari terbit yang menakjubkan. Ramai pengunjung sanggup datang seawal pukul 6 pagi hanya untuk menyaksikan mentari muncul dari ufuk laut sambil menikmati kopi panas di kafe tepi pantai itu,” katanya.

Ahmad Syaheed berkata, pihaknya dalam perancangan membina hostel backpacker dan homestay menjelang tahun 2026, sekali gus menjadikannya destinasi lengkap untuk percutian bajet di pesisir Bachok.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Nur Hidayah Hassan, 32, ketika ditemui berkata, rasa tenang bila dapat menyaksikan matahari naik sambil minum kopi dengan deru angin pagi laut memang luar biasa.

Katanya, lokasi ini memang menjadi tumpuan mereka yang cintakan alam dan laut kerana Melawifornia turut menyediakan tapak perkhemahan dengan kemudahan asas lengkap yang menjadi pilihan keluarga dan komuniti luar yang mahu berkelah dan tidur di bawah bintang.

“Tidak hairanlah, nama Melawifornia kini jadi sebutan di media sosial. Foto-foto bertema tropika dan lautan biru menjadikan tempat ini ‘port wajib singgah’ bagi mereka yang mencari lokasi outfit of the day (OOTD), healing dan percutian santai.

“Kewujudan Melawifornia bukan sahaja menghidupkan Pantai Melawi, malah turut memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan Bachok apabila semakin ramai pelancong luar termasuk saya mula kenali keindahan pantai di negeri Cik Siti Wan Kembang ini,” katanya.

Suatu ketika dahulu, Pantai Melawi hanya dikenali sebagai lokasi biasa bagi penduduk tempatan melepaskan lelah hujung minggu. Namun kini, ia berubah wajah menjadi destinasi tumpuan baharu yang menyatukan keindahan semula jadi dan gaya santai moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN