SEPANG – Sebuah treler yang membawa muatan bahan metal oxide dipercayai aluminium atau zinc oxide terbakar dalam kejadian di Kilometer 28, Lebuh Raya Elite menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.25 malam.
“Kebakaran melibatkan treler yang terbakar kira-kira 80 peratus. Muatan treler itu bersifat mudah terbakar dan kerja-kerja pemadaman dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan percikan semula api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 9.25 pagi. Usaha mengalihkan treler berdepan cabaran apabila penggunaan ‘backhoe’ tidak dapat dilakukan kerana risiko percikan api akibat sentuhan besi yang boleh mencetuskan semula kebakaran.
“Selepas perbincangan dilakukan, tindakan alternatif diambil dengan menolak lori ke kawasan cerun berumput setinggi lima kaki bagi memastikan keselamatan operasi dan kerja-kerja mengalihkan treler terbakar sedang dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














