KUALA LUMPUR – Pemain sensasi Negeri Sembilan FC (NSFC), Luqman Hakim Shamsudin enggan sekadar jadi ‘penumpang’ sebaliknya sedia jika diturunkan dalam skuad utama Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.
Menurut Luqman, tiada perbincangan spesifik ditetapkan dengan ketua jurulatih, Peter Cklamovski tetapi tidak mempunyai masalah untuk mengisi mana-mana kekosongan di jentera serangan andai diberi peluang nanti.
“Posisi kegemaran saya bermain di sayap kiri dan juga berperanan sebagai pemain nombor 10. Namun, saya tak kisah di mana posisi yang jurulatih mahu letak saya kerana mereka yang tahu bahagian mana saya patut bermain.
“Saya akan terima sahaja dan buat yang terbaik sekiranya diberi peluang beraksi. Ini salah satunya peluang yang terbaik untuk saya tunjukkan yang saya pun boleh bersaing dengan rakan yang lain.
“Sebelum ini pun situasi perjalanan saya ada naik dan turun. Jadi, itu pengalaman hidup saya yang saya dapat mematangkan lagilah dalam diri saya dalam bidang bola sepak. Apa yang perlu saya buat hanya untuk meningkatkan lagi prestasi,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Untuk rekod, kali terakhir pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyertai skuad kebangsaan adalah pada 2022 ketika Harimau Malaya menentang Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Kali ini Cklamovski ambil keputusan menyenaraikan Luqman bagi menggantikan tempat Jordan Mintah selepas penyerang naturalisasi itu terpaksa meninggalkan kem pusat ekoran faktor kesihatan. – KOSMO! ONLINE













