BUENOS AIRES – Kebakaran besar disebabkan oleh letupan kuat di sebuah taman perindustrian dekat ibu kota Argentina, Buenos Aires berjaya dikawal, lapor pihak berkuasa tempatan semalam.
Pihak berkuasa berkata, kebanyakan daripada lebih 20 orang yang cedera ringan telah dibenarkan keluar dari hospital.
Lewat kelmarin, kepulan asap tebal menyelubungi langit kawasan perbandaran Ezeiza, kira-kira 40 kilometer dari Buenos Aires dan berhampiran lapangan terbang antarabangsa pali sibuk di Argentina.
Letupan dan kebakaran itu menimbulkan panik dalam kalangan penduduk tempatan.
Kebakaran itu belum dapat dipadamkan sepenuhnya setakat pagi tadi tetapi ‘terkawal’ yang bermaksud api tidak akan merebak ke kawasan lebih luas, kata Pengarah Pertahanan Awam Buenos Aires, Fabian Garcia.
“Letupan dan kebakaran yang berlaku di pelbagai kilang adalah besar,” kata Datuk Bandar Ezeiza, Gaston Granados sebelum ini.
Kawasan perindustrian itu menempatkan syarikat pengeluar tayar, produk kimia dan barangan lain. – AFP















