PETALING JAYA – Pempengaruh, Nanad Bebe meminta bantuan orang ramai sekiranya ternampak barangan miliknya yang dicuri selepas kediamannya di Sungai Long, Kajang diceroboh pagi tadi dijual dalam mana-mana platform dalam talian.
Menerusi hantaran di Threads, pengasas butik terkenal itu berkata, barangan yang hilang ialah motosikal Yamaha RXZ berwarna biru dengan nombot pendaftaran NAN 2201, Yamaha 135LC (CET 9740), dua topi keledar Arai Stella berwarna merah dan hitam, dua topi keledar Shoei berwarna kuning dan biru.
Selain itu, dalam kejadian pada pukul 1.56 pagi tersebut, penjenayah terbabit turut melarikan sejumlah barang emas.
Nilai keseluruhan kerugian yang ditanggung Nanad Bebe, 30, dianggarkan sebanyak RM300,000.
Katanya, dia tidak menolak kemungkinan beberapa barangan peribadi yang dicuri itu akan dijual pada harga yang jauh lebih rendah di media sosial.
“Minta tolong sesiapa saja yang ternampak hantaran yang menjual barang-barang ini secara murah atau lelong, tolong mesej saya atau suami,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Hantaran itu turut tular apabila pengguna media sosial berkongsi semula gambar barangan berkenaan bagi membantu usaha pencarian.
Nanad Bebe berharap mana-mana individu yang mungkin tanpa sengaja telah membeli barang tersebut supaya segera menghubunginya untuk membantu siasatan dan urusan seterusnya.
Ekoran kejadian yang dipercayai dilakukan individu dikenali itu, Nanad Bebe membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan lanjut mengenai kejadian tersebut daripada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE















