PETALING JAYA – “Inilah masanya untuk mendampingi rakyat dan mengembalikan mandat demi masa depan Sabah yang lebih stabil, makmur dan sejahtera. Jom, kita bikin balik Sabah”
Demikian seruan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada seluruh jentera parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Beliau yang Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera BN perlu menyusun langkah dengan kemas serta memantapkan gerak kerja dan mengeratkan kebersamaan dalam kempen PRN Sabah.
“Hari pertama PRN Sabah, saya turun padang sebagai tanda sokongan kepada semua 45 calon BN yang bertanding.
“Membawa gabungan pengalaman serta 80 peratus wajah baharu yang segar, berwibawa dan bersedia memimpin Sabah ke tahap yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.
PRN Sabah ke-17 membuka gelanggang bermula semalam selepas proses penamaan calon di 25 lokasi bagi merebut 73 kerusi yang dipertandingkan selesai.
Ia mencatat sejarah baharu apabila seramai 596 calon disahkan bertanding, jumlah paling tinggi dalam mana-mana pilihan raya negeri di Sabah setakat ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dipetik berkata, calon Bebas paling ramai mengemukakan borang pencalonan melibatkan 74 orang.
Parti Warisan Sabah (Warisan) menampilkan 73 calon, Parti Impian Sabah (72 calon), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 55 calon, Star Sabah (46 calon) dan BN (45 calon)
Perikatan Nasional (PN) menampilkan 42 calon, Parti Kesejahteraan Demoktratik (KDM) 40 calon, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) 25 calon dan Pakatan Harapan (PH) 22 calon. – KOSMO! ONLINE















