KEMAMAN – Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Hulu Kemaman petang semalam menyebabkan Jambatan Teladas yang menghubungkan perkampungan itu dan Kampung Air Putih di sini tenggelam.
Tinjauan mendapati banyak sampah sarap dan sisa kayu yang dihanyutkan arus tersangkut pada jambatan tersebut.
Seorang penduduk, Yusof Sulong, 62, berkata, buat masa ini, jambatan itu ditutup sementara kepada semua kenderaan selepas ditenggelami air pada pukul 8 pagi.
“Jambatan ini biasanya akan tenggelam kira-kira lima hingga enam kali setiap kali musim tengkujuh.
“Biasanya air sungai akan surut apabila hujan reda. Buat masa ini, kami menggunakan jambatan kedua yang lebih tinggi sebagai laluan alternatif,” katanya hari ini.
Yusof berkata, setakat ini, perkampungannya masih belum dilanda banjir dan tiada penduduk yang dipindahkan. Begitupun, penduduk mengambil langkah berjaga-jaga memandang Monsun Timur Laut sudah bermula Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE














