PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di 11 buah negeri sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, negeri yang terjejas ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak serta Sabah.
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di seluruh Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka. Amaran ribut petir dijangka berlaku di Kedah melibatkan daerah Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Cuaca sama dijangka berlaku di Perak di daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” katanya.
Sementara itu, MetMalaysia berkata amaran ribut petir diramal melanda di Negeri Sembilan di daerah Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.
Selain itu, katanya, cuaca buruk dijangka melanda Johor di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Di Sarawak, situasi sama dijangka berlaku di Kuching, Betong, Sarikei (Pakan), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang,” katanya.
Turut dijangka terjejas Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan dan Keningau), Tawau (Tawau dan Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan). – KOSMO! ONLINE















