PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia menawarkan diskaun pakej perjalanan antara Sibu atau Bintulu di Sarawak dan Kuala Lumpur untuk petugas kesihatan.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tawaran menerusi pakej ‘Health-cation’ dengan sokongan Batik Air itu membolehkan kakitangan kesihatan menikmati tambang khas RM69 sehala dan RM138 pergi balik.
Menurut beliau, tempoh tempahan pakej diskaun untuk petugas kesihatan tersebut adalah sehingga 31 Mac tahun depan bagi perjalanan sehingga 30 Jun 2026.
“‘Health-cation’ merangkumi tambang penerbangan pergi balik berdiskaun antara Sibu atau Bintulu dan Kuala Lumpur, penginapan hotel, taman tema dan pakej perjalanan lain,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
King Sing berkata, hotel yang merupakan ahli Persatuan Hotel Malaysia (MAH) pula akan memberikan sekurang-kurangnya 10 peratus diskaun kadar bilik.
Menurut beliau, taman tema utama seperti Splashmania, Sunway Lagoon dan Genting SkyWorlds pula akan menawarkan pelbagai diskaun untuk kemasukan dan pakej.
“Manfaat ini diluaskan kepada jururawat, doktor, pegawai farmasi dan semua kakitangan kesihatan sebagai tanda penghargaan atas khidmat mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














