fbpx
MOHD. ROZAIMY (kiri) dan Noor Amira Syazwani bersama dua anak mereka pada Majlis Konvokesyen UMPSA di Kuantan baru-baru ini.

Cinta dan ilmu seiring, suami isteri genggam PhD serentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Pasangan suami is­teri yang bergraduasi di Universi­ti Malaysia Pahang al-Sultan Ab­dullah (UMPSA) pada majlis konvokesyen ke–20 baru-baru ini membuktikan cinta dan ilmu boleh berjalan seiring apabila mereka berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Dasar Awam dan Pentadbiran secara serentak.

Pasangan tersebut, Dr. Mohd. Ro­zaimy Ridzuan dan Dr. Noor Amira Syazwani Abd Rahman, berasal dari Kuala Lumpur dan Pahang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub.

Menariknya, kisah mereka bu­kan sekadar tentang pencapaian aka­demik, tetapi juga tentang per­jalanan dua insan yang saling menyokong dari awal hingga ke puncak kejayaan.

Sejak di universiti, mereka telah bergraduasi bersama-sama di pelbagai peringkat pengajian iaitu diploma, sarjana muda dan sarjana di Universiti Malaya (UM) diikuti pengajian sarjana di UiTM, sebelum melangkah ke peringkat tertinggi di UMPSA.

Menurut Mohd Rozaimy, isterinya merupakan individu pertama yang memulakan pengajian PhD.

“Namun pada semester pertama isteri mendaftarkan pengajian saya secara dalam talian agar kami dapat menempuh perjalanan kedoktoran bersama. Antara cabaran terbesar kami ialah menyeimbangkan masa sebagai pelajar, pekerja dan ibu bapa.

“Kami sentiasa percaya, setiap pengorbanan hari ini adalah ha­diah untuk masa depan,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa kunci utama kejayaan mereka ialah disiplin dan perancangan rapi dalam setiap fasa penyelidikan.

Selain itu, katanya, sokongan kedua-dua belah keluarga turut menjadi pendorong utama untuk terus berusaha menyiapkan tesis hingga berjaya.

“Kami sentiasa menetapkan sasaran kecil setiap minggu dan akan raikan setiap pencapaian kecil, itu membantu kami kekal fokus hingga ke akhir.

“Sokongan moral keluarga amat penting. Mereka sentiasa mendoakan dan memahami perjalanan kami, terutama ketika kami perlu berkorban masa untuk menyiapkan penulisan dan penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas ­mengenai kejayaan mereka pasangan tersebut berkata, kejayaan menamatkan PhD bukan hanya tentang memperoleh gelaran doktor falsafah, tetapi tentang nilai kesabaran, kepercayaan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran bersama.

“Kisah kami ini membuktikan bahawa apabila cinta, sokongan, dan semangat ilmu digabungkan, tiada halangan yang tidak mampu ditempuhi, bahkan segulung PhD pun boleh diraikan bersama di pentas yang sama.

“Kami harap kisah ini menjadi inspirasi kepada pasangan muda di luar sana bahawa ilmu tidak pernah menjadi penghalang kepada keluarga, malah ia boleh memperkukuh hubungan dan menambah makna dalam kehidupan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN