KEMAMAN – Penduduk terutama pemancing dan pekerja industri perkapalan gempar dengan kemunculan seekor buaya berenang di perairan Teluk Kalong berhampiran kawasan pelabuhan di sini sejak kelmarin.
Seorang penduduk, Mohd. Alwi Zuraidi, 40, mendakwa, kehadiran reptilia itu sempat dirakam beberapa pekerja kapal yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di pelabuhan berkenaan.
“Kehadiran buaya itu amat mengejutkan kami. Sebelum ini, tidak pernah ada kelibat buaya di perairan Teluk Kalong.
“Kemunculan haiwan tersebut memberi ancaman keselamatan terhadap golongan nelayan, pekerja pelabuhan dan pemancing kawasan ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Terdahulu, beberapa klip video memaparkan seekor buaya berenang di perairan Teluk Kalong tular dalam media sosial.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, anggota Perhilitan Kemaman diarah memantau lokasi bagi mengesan kehadiran buaya tersebut. – KOSMO! ONLINE















