KUCHING – Pelakon Sweet Qismina mengakui kemenangan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA2025) tidak pernah berada dalam kotak fikirannya sebelum ini.
Menurut Sweet atau nama penuhnya Farhanna Qismina Supandi, 28, selama bergelar anak seni, dia tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan tinggi apatah lagi memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.
“Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA ini memang sesuatu yang tidak pernah wujud dalam diri dan otak saya.
“Saya sudah berlakon sejak kanak-kanak. Jadi, untuk terima anugerah ini adalah satu perkara yang sangat bermakna dalam kanvas kerjaya saya,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Dia juga memberitahu tidak mempunyai perancangan untuk terbang ke Kuching bagi menghadiri AIFFA2025 kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.
Namun, selepas dipujuk produser filem Babah, dia mengambil keputusan untuk ke Kuching saat akhir tanpa sebarang persiapan.
“Kalau tidak, saya memang tak hadir pun acara ini sebab kerja. Produser Babah pun tanya saya, jadi saya ubah keputusan untuk datang juga.
“Lucunya, saya sudah siap bersolek di Kuala Lumpur tetapi tata rias rambut pula dilakukan di Kuching. Memang huru-hara jugalah.
“Bila hadir, menang pula. Memang betul-betul rahsia Tuhan,” ujarnya.
Masih menegaskan prinsip akan terus menambaik kualiti lakonan selepas ini, isteri kepada pelakon Adam Lee itu mengakui kemenangan berganda yang diraih termasuk trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) memberi beban besar buatnya.
“Sangat-sangat berat sebab masa FFM34 lalu, saya beritahu tidak mudah nak bawa kemenangan itu. Kemudian terima lagi anugerah lain dan jadi wakil Malaysia.
“Bertambah satu lagi tanggungjawab yang besar. Saya tak tahu kenapa Allah bagi rezeki ini, mungkin Dia nak saya beri hasil kerja lebih baik selepas ini.
“Kemenangan ini bukan satu perkara yang saya boleh buat main-mainlah. Pilihan juri ini bukan sebab populariti tetapi kualiti,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia sekali lagi menzahirkan ucapan terima kasih kepada produksi filem Babah iaitu Nads Media Entertainment kerana menawarkan watak Maya sekali gus membuka banyak ruang dan rezeki buat dirinya.
“Tanpa kepercayaan mereka, saya tidak akan ada dalam filem ini.
“Saya masih hilang kata-kata dengan kemenangan ini, terima kasih semua yang tak berhenti menyokong,” ujarnya lagi.
Semalam, Sweet terus memahat satu lagi kejayaan apabila diumumkan sebagai pemilik trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA2025 yang berlangsung di sini, semalam.
Dia menewaskan Hong Dao dari Vietnam, Imelda Budiman (Indonesia), Zulfa Maharani (Indonesia) dan
Katrina Halili (Filipina) untuk kategori tersebut.
Sebelum ini, Sweet juga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM34 menerusi filem sama.
Kemenangan dalam AIFFA2025 sekali gus menjadi trofi kedua dimenangi Sweet Qismina sejak dua dekad bergelar anak seni.
Kemuncak AIFFA2025 yang mula diperkenalkan sejak 2013 dan mengangkat tema Under The Star tahun ini berlangsung di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching.- KOSMO! ONLINE















