PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan terhadap komitmen aktif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam penyelesaian isu sempadan Kemboja-Thailand.
Menurut beliau, Trump malah telah menegaskan semula komitmen beliau untuk memastikan pelaksanaan penuh dan berkesan terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Anwar berkata, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri, Thailand Anutin Charnvirakul juga telah memberikan komitmen yang sama.
“Dalam perbualan saya dengan Presiden Trump, Perdana Menteri Hun Manet dan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, kami menegaskan semula komitmen untuk memastikan pelaksanaan penuh dan berkesan terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“Saya terus menghargai komitmen peribadi dan aktif Presiden Trump dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri berkata, kesemua mereka juga bersetuju bahawa kemajuan yang bermakna mesti dicapai dalam isu pelucutan periuk api tanpa menyentuh sebarang bentuk kerjasama perdagangan.
Semalam, Anwar dipetik berkata, beliau menyambut baik kesediaan dan jaminan oleh kerajaan Kemboja dan Thailand untuk memilih dan meneruskan dialog serta usaha diplomatik.
Ia bagi memastikan pelaksanaan penuh dan berkesan terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur serta pemulihan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan.
Anwar turut mengalu-alukan komitemen kedua-dua negara untuk memastikan penyingkiran senjata dan peralatan berat serta yang memusnahkan.
Dalam kenyataan itu, Anwar turut menghargai peranan proaktif dan penglibatan konstruktif Presiden AS dalam mempromosikan penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku. – KOSMO! ONLINE















