fbpx
GAMBAR fail partikel virus selesema burung H5N1. - Foto AFP

Amerika catat jangkitan pertama H5N5 di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Seorang penduduk di negeri Washington disahkan positif selesema burung, menandakan kes manusia pertama disahkan di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sembilan bulan, lapor portal berita abc News semalam.

Sebelum ini, negara itu merekodkan sebilangan jangkitan virus selesema burung H5N1.

Jabatan kesihatan negeri berkata, pesakit yang merupakan warga emas dengan masalah kesihatan sedia ada itu  mengalami gejala termasuk demam panas, keliru dan kesukaran bernafas.

Dia dimasukkan ke hospital awal bulan ini, kata jabatan tersebut.

Ujian mengesahkan pesakit itu dijangkiti H5N5, strain selesema burung yang sebelum ini  dikesan pada haiwan tetapi tidak pernah menjangkiti manusia. 

Namun, pegawai-pegawai  kesihatan berkata, risiko virus H5N5 menjangkiti orang awam adalah rendah.

Pesakit tersebut memelihara campuran unggas domestik di halaman rumahnya yang terdedah kepada burung liar. 

Unggas domestik atau burung liar itu adalah sumber pendedahan yang paling berkemungkinan.

Pihak berkuasa  kesihatan awam juga sedang menghubungi sesiapa sahaja yang mungkin menjadi kontak rapat pesakit itu.

“Dua perkara yang perlu difahami orang ramai ialah risiko kepada orang awam sangat rendah dan kita tidak pernah mempunyai penularan manusia ke manusia,” kata ahli epidemiologi negeri, Dr. Scott Lindquist dalam satu taklimat akhbar. 

Pada awal Mac 2024, Jabatan Pertanian AS mengumumkan bahawa strain selesema burung H5N1 yang telah menjangkiti berjuta-juta burung di seluruh AS dikenal pasti dalam sebilangan mamalia pada tahun ini.

Beberapa minggu kemudian, pegawai kesihatan awam persekutuan dan negeri berkata,  mereka sedang menyiasat penyakit yang menimpa terutamanya lembu tenusu yang lebih tua di Kansas, New Mexico dan Texas. 

Tidak lama kemudian, kes jangkitan selesema burung H5N1 pertama pada manusia di AS dilaporkan berlaku ke atas seorang pekerja ladang tenusu di Texas.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 70 kes H5N1 disahkan dalam kalangan manusia di AS, demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN