fbpx
RONALDO bakal terlepas aksi kelayakan terakhir menentang Armenia apabila menerima kad merah ketika Portugal tewas berdepan Ireland awal pagi semalam. - AFP

WCQ: Ronaldo rencat impian Portugal layak awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUBLIN – Portugal mensia-siakan peluang untuk menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 lebih awal apabila tewas 0-2 kepada Ireland pada aksi kelayakan Kumpulan F di Stadium Aviva awal pagi semalam.

Lebih malang, perlawanan itu turut menyaksikan kapten, Cristiano Ronaldo dilayangkan kad merah pada minit ke-61 selepas didakwa melakukan kekasaran ke atas pemain pertahanan tuan rumah, Dara O’Shea.

Ketua Jurulatih Portugal, Roberto Martinez menganggap layangan kad merah kepada legenda Real Madrid itu tidak sepatutnya berlaku meskipun pengadil perlawanan sudah merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Saya fikir keputusan itu terlalu ‘kasar’ kerana Cristiano (Ronaldo) berdepan layanan ‘istimewa’ sepanjang perlawanan berlangsung. Dia ditolak dan dikasari pemain lawan sehingga minit ke-60 itu.

“Bagi saya, dia tidak menyiku pemain tersebut, tetapi kami terpaksa menerima keputusan dengan hati terbuka. Dia tidak berniat untuk melakukan kekasaran selain kecewa dengan keputusan tersebut,” katanya.

Meskipun masih mendahului saingan peringkat kumpulan dengan 10 mata, namun Portugal masih berisiko untuk terlepas peluang mara ke pusingan akhir secara automatik kerana Hungary mengekori rapat menerusi perbezaan dua mata.

Sementara itu, ketua jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson menafikan dakwaan Ronaldo yang mengatakan beliau cuba mempengaruhi pengadil perlawanan supaya melayangkan kad merah kepadanya.

“Dia (Ronaldo) seperti mempersendakan saya apabila memuji saya kerana dapat mempengaruhi pengadil. Keputusan itu tidak ada kena mengena dengan saya, bagi saya itu satu tuduhan yang bodoh,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI