PETALING JAYA – Seekor kucing kaki kudung dikatakan dibuang di Pulau Talang, Perak kini meneruskan hidup bersama keluarga baharu selepas ia diselamatkan oleh seorang lelaki.
Menerusi beberapa hantaran video oleh Facebook Frugal Outdoors & Camping, pemilik akaun tersebut datang berkayak ke Pulau Talang dan menemui kucing berkenaan dalam keadaan kurus dan lapar.
“Macam mana kucing boleh ada kat Pulau Talang. Tengah laut terpisah dengan daratan. Tak tahu datang sini ikut bot ke? Atau orang bawa sini ke? Takkan berenang,” katanya pada video berkenaan.
Lelaki itu turut meminta mana-mana pihak yang boleh menyelamatkan kucing tersebut serta menghantarnya ke daratan.
“Ada orang boleh tolong hantar darat ke? Naik kayak, kucing lompat. Takut kot,” katanya.
Pada video seterusnya, lelaki itu memberitahu, di dalam kayak yang digunakannya, ia dipenuhi dengan barangan aktiviti perkhemahan.
“Aku cuba masuk kucing tu dalam tong ikan jumpa kat pulau, tapi kucing takut. Tong tu pun tak stabil atas kayak, jatuh. Sebab tu meronta-ronta, tu belum kena alun ombak. Bahaya kalau kucing terjun ke laut, naya.
“Minta tolong yang naik bot berdekatan situ, selamatkan bawa ke darat,” katanya.
Bagaimanapun, lelaki itu datang semula ke Pulau Talang berkenaan selepas dua hari kemudian dan menemui semula kucing tersebut.
“Si Talang kucing kudung yang ditinggal buang di tengah pulau. Selepas dua hari tak ada maklum balas sesiapa datang tolong, aku ambil keputusan kembali ke Pulau Talang,” katanya.
Menerusi ruangan komen, orang ramai berterima kasih dan memuji lelaki tersebut apabila sanggup datang semula ke Pulau Talang untuk menyelamatkan kucing berkenaan.
“Semoga awak diberkati dunia akhirat, diberi kesihatan yang baik dilimpahi rezeki dan dapat menjaga Talang dengan baik. Semoga Talang bahagia dan sihat bersama awak,” komen pengguna Facebook Lina Lee.
“Alhamdulillah, terima kasih bang. Sayu pula tengok kucing tu tidur,” kata seorang lagi individu.
Dalam masa sama, ada juga yang mahu menyumbang kepada lelaki itu bagi penjagaan kucing tersebut.
“Bang, kongsi QR code. Saya nak sumbang untuk abang bawa Talang jumpa veterinar dapatkan rawatan,” kata Aishah Hadzi. – KOSMO! ONLINE















