PORT DICKSON – Seorang lelaki ditemui tergantung pada sebatang pokok di kawasan hutan berhampiran sebuah hotel di Batu 5, Jalan Pantai, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pukul 10.08 pagi sebelum anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun, ditemui dalam keadaan tergantung dan lengkap berpakaian. Turut dijumpai beberapa dokumen peribadi dan rekod rawatan perubatan miliknya,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, semakan awal tidak menemui sebarang kecederaan atau tanda pergelutan pada tubuh mangsa yang boleh mengaitkan kejadian dengan unsur jenayah.
“Mayat dipercayai telah meninggal dunia antara tiga hingga empat hari sebelum ditemui dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















