PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, kawasan yang terjejas adalah Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah serta Labuan.
“Antara kawasan yang terlibat adalah Langkawi di Kedah manakala Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak.
“Selain itu, amaran hujan berterusan di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh manakala Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu.
“Amaran melibatkan kawasan lain yang terlibat adalah seluruh negeri Selangor termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Seterusnya, kawasan Seremban, Port Dickson dan Rembau, Negeri Sembilan manakala seluruh negeri Melaka turut terlibat dalam ramalan cuaca buruk itu,” ujarnya.
Menurut MetMalaysia, amaran cuaca buruk turut dijangka berterusan di Tangkak dan Muar, Johor.
Bagi negeri Sarawak, Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit, Bintulu (Tatau), Miri (Subis dan Miri) dan Limbang turut terlibat.
Di Sabah, kawasan terkesan adalah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat (Kota Marudu) serta Labuan. – KOSMO! ONLINE















