PETALING JAYA – Selangor FC bagai jatuh ditimpa tangga selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman keras terhadap Selangor FC susulan insiden membabitkan penyokong pada Piala FA menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium MBPJ, 29 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan itu diambil selepas meneliti semua laporan dan bukti yang dikemukakan bagi memastikan integriti perlawanan dan keselamatan penyokong dipelihara.
“Dalam perlawanan terbabit, penyokong Selangor FC telah melakukan pembakaran mercun dan dua letupan telah dilihat serta didengari, dibaling ke arah penyokong NSFC.
“Insiden ini jelas menunjukkan kegagalan pihak tuan rumah untuk mengawal kelakuan penonton, sekali gus mencetuskan suasana tidak selamat di dalam stadium.
“Kami perlu mengambil tindakan tegas bagi mengekang kejadian sebegini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Baljit Singh turut menjelaskan penyokong Selangor FC juga merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk serta botol air ke arah penyokong Negeri Sembilan FC sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua penyokong.
“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi juga menjejaskan imej bola sepak negara. “Setiap pasukan bertanggungjawab memastikan penyokong mereka tidak mencederakan penonton lawan.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa pengurusan penganjuran perlawanan gagal mengawal keselamatan di kawasan orang kenamaan.
“Kami tidak boleh membiarkan tingkah laku sebegini berlaku tanpa tindakan tegas,” katanya.
Susulan itu, Selangor FC diarahkan beraksi tanpa penonton bagi dua perlawanan Piala FA seterusnya, membabitkan aksi separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 30 November ini dan satu perlawanan pertama di gelanggang sendiri pada musim berikutnya.
“Selangor FC turut dikenakan denda RM100,000 kerana kesalahan berulang.
“Kami juga memberi amaran keras bahawa hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya insiden sama berulang pada masa akan datang,” katanya.
Badan induk bola sepak negara turut menegaskan bahawa keputusan ini boleh dirayu mengikut prosedur yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














