DIADAPTASI daripada kisah agung klasik tulisan Mary Shelley, Frankenstein cernaan idea otak genius pengarah hebat kelahiran Mexico, Guillermo del Toro sememangnya berada pada kelas tersendiri.
Penulis secara peribadi sangat menggemari naskhah arahan sutradara prolifik terbabit — Pan’s Labyrinth dan The Shape of Water antara filem garapan Guillermo sehingga kini masih berbekas dalam minda dan merupakan antara karya bernuansa sains fiksyen paling memberi dampak.
Frankenstein sudah banyak kali didokumentasikan dalam bentuk filem (barangkali lebih 400 naskhah sejak 1818), namun kemenjadian yang dicetuskan Guillermo memang tidak tercapai akal.
Sutradara hebat
Berdurasi sekitar 2 jam lebih, keberhasilan Frankenstein kali ini sangat ‘menguji’ kerangka minda. Kalau digambarkan dalam bentuk kualiti, Frankenstein versi Guillermo umpama puisi aras tertinggi yang kedudukannya sama tinggi, sama rendah dengan lukisan agung, Mona Lisa.
Dari sepenting-penting elemen seperti lakon layar, terjemahan karakter dan sehinggalah kepada perihal teknikal seperti sinematografi dan kesan khas (VFX), Frankenstein ternyata menghadirkan sesuatu yang tidak melampau disifatkan ‘peak cinema’.
Sayangnya, naskhah berkenaan hanya diterbitkan menerusi platform penstriman Netflix, bukan di layar lebar. Apabila pertama kali melihat durasi filem ini, penulis hampir berundur. Namun kerana percaya pada magis arahan Guillermo, keputusan dibuat untuk menonton diteruskan.
Meskipun pada awalnya kelihatan perlahan, setiap detik dan babak akhirnya terjalin menjadi satu pengalaman sinematik yang puitis – sinema sebagai puisi, indah, mendalam dan penuh makna.
Pertembungan atau dikotomi antara Victor Frankenstein dan makhluk ciptaannya digarap dengan penuh cermat. Bukan sekadar filem ‘seram’, tetapi satu renungan menyayat hati tentang penciptaan, penolakan, dan keinginan makhluk untuk dicintai dan diterima. Setiap emosi ditampilkan dengan begitu jujur hingga menusuk ke dasar perasaan.

Jacob Elordi
Pelakon utamanya, Jacob Elordi, tampil luar biasa. Tanpa banyak dialog, ekspresi wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup untuk menyampaikan kedalaman emosi yang jarang dilihat dalam filem moden.
Barisan pelakon lain juga tidak ketinggalan, masing-masing membawa dimensi tersendiri yang menghidupkan hubungan utama di tengah kisah tragis ini.
Dari segi teknikal, filem ini ibarat karya seni yang teliti. Pertama, Setiap bingkai penuh perincian halus. Tidak kurang, warna dan pencahayaan kaya dengan simbolisme.
Selain itu, reka bentuk set dan suasana yang mistik serta menghantui diadun cemerlang termasuk skor muzik yang mendalam dan menggetarkan jiwa. Memang chef’s kiss kerja Guillermo kali ini!
Ada yang mungkin menganggap filem ini ‘berat’ dan suram, namun bagi penulis, karya ini sebenarnya jujur dan manusiawi. Karya ini tidak takut menelanjangkan duka, malah menjadikannya indah – seolah-olah mengajar penonton bahawa kesedihan juga menekan signifikan rasa.
Setiap babak terasa dirancang dengan niat dan seni yang tinggi. Inilah filem yang hidup, bernyawa, dan penuh roh. Frankenstein bukan sekadar filem, tetapi pengalaman sinematik yang menghantui, memukau dan sukar dilupakan.
Sebuah karya agung Guillermo del Toro yang bakal terus disebut-sebut dalam dunia perfileman moden. Penulis sendiri akan terus memikirkan kehebatan Frankenstein untuk jangka masa yang amat panjang. Markah peribadi: 96/100.
















