JOHOR BAHRU – Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan untuk mencemar duli menyempurnakan istiadat Majlis Konvokesyen UTM ke-69.
Istiadat gilang-gemilang itu bakal berlangsung selama enam hari bermula hari ini sehingga 20 November di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai, di sini.
Turut berangkat, selaku Pro-Canselor UTM, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor bersama dua lagi Pro-Canselor, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd. Ghazali.
Sebanyak 11 sidang penganugerahan dijadualkan diadakan sepanjang tempoh enam hari majlis tersebut yang dijangka dihadiri ribuan ahli keluarga graduan dan tetamu kehormat.
Naib Canselor UTM, Prof. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, seramai 7,156 graduan bakal diraikan meliputi 732 Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,476 Ijazah Sarjana, 4,233 Ijazah Sarjana Muda, 658 Diploma dan 57 Diploma Eksekutif.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,195 graduan antarabangsa dari 57 negara turut menamatkan pengajian mereka, termasuk dari China, Indonesia, Bangladesh dan Palestin.
“Fakulti Alam Bina dan Ukur mencatat jumlah graduan tertinggi dengan 921 orang, diikuti Fakulti Kejuruteraan Elektrik (676) dan Fakulti Komputeran (652),” katanya pada sidang akhbar Majlis
Konvokesyen ke-69 di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM Skudai, di sini kelmarin.
Hadir sama, Pendaftar UTM, Datuk Dr. Mohd. Shahril Abdullah dan Pengarah Program Festival Konvokesyen ke-69, Ong Hong Yao.
Ahmad Fauzi berkata, konvokesyen kali ini turut mengiktiraf pelajar cemerlang melalui beberapa anugerah berprestij termasuk Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor, Anugerah Pro-
Canselor dan Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah yang akan disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja tahun ini ialah Muhammad Najmi Shah Muhamed Azam Shah, graduan Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, serta Che’er Mintong, graduan Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia.
Selain itu, beliau berkata, UTM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada mantan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie atas sumbangan besar beliau memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Jepun dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Empat tokoh akademik turut menerima gelaran Profesor Emeritus iaitu Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Prof. Datuk Dr. Mohd Tajudin Md. Ninggal; Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun dan Prof. Dr. Ghazali Sulong sebagai penghargaan terhadap jasa dan legasi ilmu mereka.
Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata, majlis kali ini turut diraikan dengan pencapaian membanggakan apabila UTM mencatat kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus pada tahun 2024, malah sebahagian besar memperoleh pendapatan premium sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik dan profesionalisme graduannya.















