KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan modul baharu kesihatan kepada bakal jemaah haji Malaysia yang turut dimasukkan di dalam kursus haji sebagai panduan untuk mengekalkan kesihatan sepanjang menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, langkah itu juga susulan syarat kesihatan oleh Kerajaan Arab Saudi yang diumumkan baru-baru ini.
“Dalam kursus TH, kita masukkan modul baharu iaitu modul kesihatan. Saya ingat dalam setiap bulan, TH beri anugerah kepada mereka yang menerima tawaran haji dan mengikuti kursus.
“Mereka ini akan tunjukkan (aktiviti) kesihatan yang telah dibuat, ada lari dapat lebih 10,000 setapak, naik bukit semua. Secara tak langsung dapat didik mereka tentang kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) di Pusat Pameran dan Konvensyen Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Mohd. Na’im berkata, mereka menerima tawaran untuk menunaikan haji pada kali ini juga diminta menjaga kesihatan masing-masing bagi memastikan kelancaran untuk menunaikan ibadah di sana.
“Surat tawaran haji telah diberikan. Mereka yang terima itu akan buat pemeriksaan kesihatan. Dari awal kita minta sangat supaya mereka ini menjaga kesihatan dengan baik.
“Peraturan telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan memang tahun ini ketat daripada sudut kesihatan. Rakan sejawat saya iaitu Menteri Haji Saudi juga minta supaya mereka yang pergi haji dalam keadaan sihat.
“Atas peraturan baharu ditetapkan oleh Arab Saudi ini, kita patuh dan harap supaya mereka yang terima tawaran haji untuk mengekalkan kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















