KUCHING – Bakat terus dijulang, aktres Sweet Qismina terus melakar sejarah dalam kanvas seninya apabila diumumkan sebagai pemilik trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA2025) yang berlangsung di sini, hari ini.
Pemilik nama penuh Farhanna Qismina Supandi, 28, yang membawa watak Maya dalam filem Babah menewaskan Hong Dao-chi Dau dari Vietnam, Imelda Budiman (Indonesia), Zulfa Maharani (Indonesia) dan
Katrina Halili (Filipina).
“Terima kasih kepada para juri atas kepercayaan ini.
“Anugerah ini untuk semua individu yang menjadi tulang belakang saya termasuk keluarga dan seluruh produksi Babah.
“Saya janji akan tambah baik kualiti lakonan. Anugerah ini untuk Malaysia,” katanya.
Bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula dibawa pulang aktor dari Filipino iaitu Ronnie Lazaro menerusi filem The Gospel of the Beast.
Sementara, aktor, Wu Kang-ren turut memahat kejayaan terbaharu apabila diumumkan sebagai pemilik trofi Pelakon Lelaki Terbaik AIFFA2025.
Memenangi kategori tersebut filem Abang Adik, menewaskan pencabar satu negara, Qi Razali (Babah), Jansen Magpusao (Filipina), Le Phong Vu (Vietnam) dan Jomari Angeles (Filipina).
Sementara kategori Pelakon Wanita Terbaik dimenangi oleh aktres Indonesia, Yunita Siregar yang menampilkan lakonan luar biasa dalam filem Home Sweet Loan.
Sebelum ini, Sweet turut dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM34 menerusi filem sama.
Kemenangan di AIFFA2025 sekali gus menjadi trofi kedua dimenangi Sweet dan Qismina sejak dua dekad bergelar anak seni.
AIFFA2025 yang mula diperkenalkan sejak 2013 dan mengangkat tema ‘Under The Star’ tahun ini berlangsung di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching hari ini. – KOSMO! ONLINE















