CANBERRA – Seorang lelaki di Australia mengundang perhatian orang ramai apabila membeli sebuah rumah menggunakan wang hasil daripada mengutip hampir 500,000 tin minuman dan botol plastik, lapor portal berita VNExpress.
Damian Gordon, 36, membeli kediaman dua bilik tidur di Queensland selepas tujuh tahun mengumpul dan menjual barang kitar semula itu.
Dia menerima wang AS$46,000 (RM190,118) selepas menjual 450,000 tin dan botol plastik kepada Skim Deposit Kontena Australia yang memberi upah kira-kira AS$0.10 (RM0.41) bagi setiap bekas minuman.
Biarpun mempunyai pekerjaan tetap, Gordon menjadi sukarelawan di beberapa acara termasuk festival muzik setiap hujung minggu di mana dia mengumpul beribu-ribu tin dan botol plastik pada satu masa.
“Saya menemui pelbagai barang yang dibuang di acara sebegitu seperti peralatan perkhemahan, lampu dan topi.
“Saya juga pernah membawa pulang banyak makanan selama beberapa minggu dan barangan yang tidak mudah rosak.” kata Gordon.
Selain festival, Gordon akan mengumpul barang kitar semula itu di tepi jalan atau pantai. – AGENSI















