fbpx
Antara pelajar yang telah menyertai program FFL.

Inisiatif Fund For Life bantu 123,000 pelajar celik kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Program Fun(d) for Life (FFL) terus komited memperkasa belia Malaysia agar lebih berdaya tahan kewangan melalui pembelajaran interaktif yang memberi tumpuan kepada pelajar.

Memasuki edisi ketujuh tahun ini, FFL yang disokong oleh FWD Takaful & Arus Academy terus mengubah cara pelajar mempelajari pengurusan wang menerusi pendekatan permainan dan aktiviti praktikal.

Sejak dilancarkan, program ini telah memberi pendedahan kepada lebih 123,000 pelajar di seluruh negara dan kini menjadi antara inisiatif literasi kewangan dengan impak paling tinggi di Malaysia untuk pelajar sekolah.

Ketua Program Fun(d) for Life, Alina Amir berkata, sempena bulan literasi kewangan Oktober lalu, murid di seluruh negara telah melaksanakan projek peringkat sekolah dengan sokongan geran mikro bernilai RM500.

Jelas beliau, melalui projek itu, mereka merancang dan menjalankan pelbagai inisiatif kreatif bertemakan kewangan di komuniti masing-masing.

“Antara inisiatif tersebut termasuk karnival simpanan di Sabah, cabaran simpanan rakan sebaya di Kedah, kempen kesedaran di sekolah, serta membangunkan cara mudah bagi membantu rakan mencatat dan mengurus perbelanjaan di Terengganu.

“Daripada pelbagai projek yang dijalankan, seramai 100 murid cemerlang telah dipilih untuk membentuk Majlis Perwakilan Murid FFL yang pertama, mewakili sekolah-sekolah di seluruh negara,”katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Alina berkata, Majlis Perwakilan Murid telah menerima latihan sebagai fasilitator, menjalankan bengkel simulasi serta memimpin sesi permainan interaktif berkaitan bajet, simpanan, perbelanjaan bijak dan perlindungan kewangan.

“Fun(d) for Life direka untuk menjadikan ilmu kewangan sesuatu yang relevan, praktikal dan mudah dipraktikkan,”ujarnya.

Belau berkata, program itu juga melengkapi agenda literasi kewangan negara di bawah Bank Negara Malaysia, Kementerian Pendidikan serta Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN).

Malah ia turut menyumbang kepada peningkatan Indeks Literasi dan Keupayaan Kewangan Malaysia yang meningkat daripada 57.1 pada tahun 2018 kepada 59.1 pada tahun 2024.

Peningkatan ini mencerminkan kesedaran kewangan yang semakin tinggi di seluruh negara, dan FFL mengukuhkan kemajuan ini dengan membina kemahiran pengurusan wang sejak di bangku sekolah.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI