SEREMBAN – Dua lelaki geng curi kabel diberkas selepas dikejar polis sejauh kira-kira 23 kilometer dari Rahang hingga ke Kampung Kondok, Nilai, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya mengesan sebuah kereta jenis Honda Civic FD dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seremban – Tampin kira-kira pukul 1.30 petang sebelum meminta untuk memberhentikan kenderaan.
“Suspek bagaimanapun enggan berhenti dan terus memecut laju sehingga ke Lebuh Raya Utara Selatan melaui Plaza Tol Senawang sebelum kereta dinaiki mereka menghentam sebuah kereta dan melanggar MPV polis.
“Anggota polis terus mengejar suspek sehingga ke Jalan Labu, di sini sebelum kenderaan dinaiki suspek terbabas melanggar sebatang pokok berhampiran Kampung Kondok sekitar pukul 2.30 petang.
“Siasatan mendapati lima suspek telah melarikan diri ke kawasan semak dengan dua orang berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota. Dua lelaki itu berusia 30-an,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel termasuk pemotong kabel, tukul besi, kuku kambing serta dua guni berisi tembaga yang telah dibakar.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 35 dan 25 rekod rekod lampau dan saringan urin mengesahkan mereka positif methamphetamine selain aktif beroperasi di sekitar Seremban serta Lembah Klang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














