KONTROVERSI melibatkan Harimau Malaya kini memasuki episod baharu apabila wujud dakwaan jodoh pengendali pasukan, Peter Cklamovski tidak akan kekal lama dan bakal menamatkan khidmatnya lebih awal.
Sejak malam kelmarin, tular tangkap layar yang mengatakan bekas pengendali FC Tokyo itu akan meninggalkan pasukan sejurus tamat perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Bagaimanapun, berdasarkan rekod pencapaian yang diraih Harimau Malaya di bawah kendalian Cklamovski iaitu meraih enam kemenangan dan sekali seri dalam tujuh perlawanan rasmi menunjukkan dakwaan itu langsung tidak masuk akal.
Malah, sumber juga memberitahu bahawa berita yang bertebaran ketika ini adalah tidak betul dan pengendali dari Australia itu masih fokus dengan tugasnya meneruskan revolusi Harimau Malaya ketika ini.
Cklamovski sebelum ini sering kali menyatakan pendiriannya untuk tidak terlalu memikirkan masalah luar padang sebaliknya fokus utama adalah menyiapkan pasukan dengan lebih baik bagi mendapatkan keputusan lebih positif.
“Bagi saya mudah, apa yang saya fokus adalah tentang perkara yang saya boleh dikawal untuk menjadikan apa yang kami buat adalah betul. Apa yang orang katakan atau fikir, semua itu adalah di luar kawalan saya.
“Saya hanya harap saya boleh membuatkan Malaysia bangga dengan identiti bola sepak, keputusan diraih dan menamatkan 2025 tanpa kalah, bermain dengan baik, menjaringkan gol dan tamatkan perlawanan tanpa bolos,” katanya pada sidang media, Isnin lalu.
Dalam empat aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, Harimau Malaya cemerlang meraih mata maksimum untuk mendahulu pencabar lain, Vietnam, Laos dan Nepal.
Sebelum ini, Harimau Malaya dipalit isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan hingga menyaksikan semuanya dikenakan hukuman denda dan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun, usaha Kosmo! untuk mendapatkan respon lanjut Cklamovski mengenai spekulasi berkenaan tidak berhasil apabila pengendali skuad negara itu terus mengunci mulut.















