fbpx
Tangkap layar video Mohd. Na'im sewaktu bertemu Asmah yang dirawat di sebuah hospital di Arab Saudi baru-baru ini.

Baru 4 hari, berjaya kumpul RM280,000 bawa Hajah Asmah pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kutipan sumbangan daripada rakyat Malaysia bagi membawa pulang seorang jemaah haji, Asmah Mansor, 71, ke tanah air kini telah mencecah RM280,000 setakat pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, angka tersebut dicapai dalam tempoh empat hari selepas sumbangan itu diuar-uarkan menerusi Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia.

Menurutnya, dengan jumlah berjaya dikumpulkan setakat ini, beliau yakin ia boleh mencapai sasaran RM500,000 yang diperlukan bagi membawa warga emas itu pulang ke Malaysia.

“Semalam tabung itu mencecah kira-kira RM143,000, jadi cepat (bertambah sumbangan). Melihat kepada situasi ini, saya yakin insya-Allah dalam masa terdekat kita boleh bawa pulang Hajah Asmah.

“Saya pun sedih sebab dia bisik kat saya, dia kata ‘Datuk, bawa mak cik pulang segera, tolonglah saya’. Bayangkan siapa tak rasa sedih. Saya yakin jumlah itu boleh dicapai dan saya harap dapat minggu depan (capai sasaran),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP di Pusat Pameran dan Konvensyen Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Mohd. Na’im turut memuji dan mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bersama-sama menyumbang melalui tabung tersebut.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia. Kita sebut semalam kenapa kita buka ruang ini, sebab saya tahu rakyat Malaysia memang sangat pemurah.

“Kita berikan peluang kepada rakyat Malaysia yang memang murah hati, bantu Hajah Asmah untuk dibawa balik. Rakyat Malaysia ini bila ada mereka yang susah, mereka akan cepat berikan bantuan dan pertolongan,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, Mohd. Na’im memohon keprihatinan rakyat Malaysia untuk membantu membawa pulang Asmah yang sedang bertarung nyawa akibat penyakit pneumonia di Mekah.

Beliau dalam satu hantaran di Facebook dipetik berkata, Asmah yang kini bergantung pada alat bantuan pernafasan (ventilator) di sebuah hospital di Mekah, difahamkan sempat menyempurnakan ibadah haji sebelum keadaan kesihatannya merosot secara mendadak.

Dilaporkan, kira-kira RM500,000 diperlukan bagi menampung kos membawa pulang wanita warga emas itu yang masih dirawat di Saudi German Hospital di Mekah sejak 13 September lalu.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan boleh disalurkan melalui Tabung Musaadah Jakim-YWM ke akaun CIMB ISLAMIC, 86-0221818-6 serta meletakkan ‘Hajjah Asmah Binti Mansor’ sebagai rujukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN