HANYA pemilik jiwa kental akan bangkit menuntut hak yang seharusnya diperjuangkan. Selama 15 tahun mengutip sisa-sisa kekuatan dan semangat, kini giliran Raja Azura menggunakan kuasa undang-undang bagi menuntut nafkah untuk tiga anaknya yang culas dibayar oleh bekas suami, Adzmin Osman.
Ketepikan seketika perihal nafkah, Raja Azura atau nama penuhnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin mengakui lebih satu dekad menggalas peranan sebagai ibu tunggal adalah fasa yang mencabar buat dirinya.
Apatah lagi, dia tidak dibantu walau satu sen oleh bekas suami yang hilang tanpa khabar berita. Kongsinya, pengalaman menunaikan umrah beberapa hari selepas bercerai antara momen yang paling membekas dalam kotak ingatannya sehingga kini.
Menjejakkan kaki ke rumah Allah SWT pada waktu dirinya berada dalam fasa paling rapuh adalah keputusan terbaik pernah dilakukannya.
“Selepas rasmi bercerai, saya ambil cuti 10 hari pergi menunaikan umrah. Rezeki Allah nak jemput saya ketika itu.
“Sebelum pulang ke tanah air, ketika melakukan tawaf wada (tawaf selamat tinggal), saya berdoa pada Allah ‘ya Tuhanku, kau gugurkanlah segala kesedihan aku di sini (Mekah) dan berikan kekuatan’. Alhamdulillah Dia beri kekuatan itu kepada saya sehingga ke hari ini.

“Fokus saya selepas pulang dari umrah hanya untuk anak-anak dan berjanji pada diri sendiri waktu itu, akan tuntut semua benda selepas anak genggam ijazah. Itu yang saya realisasikan hari ini,” katanya kepada HibGlam.
Dalam nada sebak, Raja Azura menambah, terlalu banyak dugaan perlu ditempuh sebagai ibu tunggal, namun bersyukur dikurniakan tiga zuriat iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, Megat Luqman Hakim Adzmin dan Puteri Mia Maizura Adzmin yang sentiasa memahami situasi dirinya.
“Macam saya cakap sebelum ini, saya berjuang seorang diri besarkan anak-anak. Bergolok gadai sehingga duit simpanan habis, orang tak pernah tahu semua itu.
“Seboleh-bolehnya saya sorok kesusahan dan tak mahu minta bantuan sesiapa sebab malu. Kalau nak beri bantuan, beri sahaja saya kerja sebab takut terhutang budi.
“Sampai sekarang setiap kali dapat tawaran kerja, saya syukur dan lega sebab sekurang-kurangnya dapat bantu melunaskan bayaran bulanan kereta atau bil-bil lain,” katanya lagi.
Dia juga sebelum ini pernah dihujani dengan pertanyaan daripada anak-anaknya tentang keberadaan seorang bapa yang tidak pernah lagi ditemui sejak tahun 2013.
“Anak-anak ketika itu ada juga bertanya, ayah mana? Mama, kenapa ayah tak balik? Mama, kenapa telefon ayah tak dapat? Sakit juga kepala nak respons apa tetapi saya temberang cakap, ayah masuk hutan, dalam hutan tiada ‘line’ (liputan internet).
“Syukur mereka terima sahaja jawapan itu dan menjadi anak-anak yang sangat baik sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Naik turun mahkamah
Transisi dari nada sebak, intonasi pengacara berusia 53 tahun itu bertukar tegas apabila mula bersuara mengenai tindakan bekas suami kerana enggan memberi kerjasama berhubung tuntutan nafkah di mahkamah.
“Syukurlah saya bukan jenis mengamuk atau marah-marah dalam media sosial. Saya juga tak akan sesekali terhegeh-hegeh pergi kepadanya sebab sebelum ini pun sudah usaha pergi sampai ke Kedah nak jejak dia. Selepas ini kalau dia kena apa-apa tindakan, bukan salah saya tetapi dia,” tuturnya.
Tambah Raja Azura, dia juga berang apabila terdapat segelintir pihak yang mempertikai pendedahannya baru-baru ini mengenai tiga anaknya tidak pernah bersalaman dengan bapa pada hari raya. Dalam masa sama, dia juga mempertikai sikap bekas suaminya kerana tidak pernah menjenguk anak-anak walau sekali dalam tempoh 13 tahun.
“Ada orang menyampah bila saya cakap kenapa nak beritahu tentang anak-anak tak dapat salam raya. Eh, bodoh ke kalian semua? Cuba kau duduk di posisi saya, anak-anak tak pernah merasa pun salam tangan bapa sendiri. Apa kalian rasa?
“Sekarang dia mengaku atau tidak anak-anaknya ini? Ini anak dia yang sah. Kalau tak nak mengaku, cakap betul-betul, saya pergi Jabatan Pendaftaran Negara tukar bin binti kepada Abdullah, ke tapi itulah, tak mungkinlah berlaku,” sindirnya yang juga bekas penyampai radio Sinar FM itu.

Minta pandangan
Sebagai wanita yang pernah melalui episod perceraian, dia sempat menitipkan nasihat kepada mana-mana individu atau selebriti yang hadir ke mahkamah agar mempunyai ilmu mengenai prosedur undang-undang. Ujarnya, perkara paling penting adalah perlu bijak mengawal emosi agar tidak melakukan sebarang perkara yang memakan diri.
“Sebelum naik mahkamah juga, minta pandangan daripada orang yang lebih berpengalaman iaitu peguam. Jangan main serbu sesuka hati, takut nanti makan diri semula.
“Kemudian bersedia dengan sebarang soalan yang mungkin akan ditanya pihak media. Jangan pergi kosong atau asyik serahkan kepada peguam sahaja untuk menjawab.
“Perlu nampak bijak dan sekurang-kurangnya belajar sedikit ilmu untuk kita bersedia, apa pun memang kena rujuk peguam kalau ada perkara yang nak kongsi, kalau mereka kata okey, baru lakukan. Jangan pula kau yang pandai-pandai nak buat-buat ‘live’ TikTok sebagainya. Itu yang saya belajar sepanjang turun naik mahkamah beberapa kali ini,” noktahnya.















